Tiada Kejutan Akan Berlaku Di Terengganu - MB


KUALA TERENGGANU - Menteri Besar, Ahmad Razif Abdul Rahman menegaskan "tiada sebarang kejutan akan berlaku" di Terengganu.

"Tiada isu pilihan raya negeri dibincangkan dan pentadbiran berjalan dengan baik malah mendapat sokongan Exco," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Ahmad Razif berkata, segala spekulasi yang ditimbulkan pihak tertentu dalam tempoh terdekat ini hanya cubaan untuk mengeruhkan keadaan menjelang persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada 8 Ogos ini.

"Saya tak dapat makluman sepenuhnya tentang perkara ini, tindakan yang perlu kami buat adalah secara bersama. Saya rasa tidak ada apa-apa isu, saya harap media tidak panjangkan isu ini kerana saya lihat Terengganu tiada sebarang masalah," katanya ketika ditanya pemberita berhubung isu kepimpinannya.

Beliau menafikan timbul desakan supaya beliau meletakkan jawatan kerana katanya keadaan semasa masih stabil dan mendapat sokongan pemimpin lain.

"Saya tiada makluman ada desakan ke atas saya. Saya tidak tahulah macam mana media boleh timbulkan isu ini kerana saya telah katakan bahawa Terengganu berada dalam keadaan terkawal, politik kita stabil. Ini adalah satu desas-desus yang cuba ditimbulkan menjelang kita mengadakan (sidang) Dun," katanya.

Mengenai khabar angin yang menyatakan beliau telah mengadakan mesyuarat tergempar membabitkan Exco dan wakil rakyat, Ahmad Razif berkata, "Itu tidak betul. Itu mesyuarat sebelum sidang Dun. Itu adalah jadual awal kita ... ia tiada kena mengena, ia mengenai sidang Dun. Yang kita bincang semalam adalah tentang soalan dan Undang-Undang Tetap Dewan."

Menteri Besar yang kelihatan tenang ketika menjawab pelbagai soalan diajukan pemberita berkata, sehingga kini tiada sebarang notis undi tidak percaya diterima yang mahu beliau meletak jawatan.

"Tidak ada apa-apa. Jika hendak timbulkan isu ia mesti 14 hari notis, sekarang tiada apa-apa isu. Tiada kemungkinan ... kerajaan kita stabil cuma mungkin ada pihak-pihak yang cuba mencetuskan (sesuatu)," katanya.

Mengulas tentang teguran Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil Ghazali Taib terhadap kepimpinannya, katanya beliau akan mengkaji perkara tersebut secara bersama dan berpandangan bahawa Ghazali hanya melontarkan pandangan peribadi beliau.

Ahmad Razif berkata, tindakan Ghazali itu bukanlah satu perkara yang perlu diperbesar-besarkan dan Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu dan kerajaan negeri tidak akan mengambil sebarang tindakan namun terpulang kepada pihak tertinggi parti.

"Saya tak tahu apa sebenarnya yang ditimbulkan, itu mungkin pandangan peribadi beliau dalam soal tindakan perlu diambil terhadap bekas Menteri Besar (Datuk Seri) Ahmad Said ...tetapi bagaimanapun kami akan selesaikan perkara ini," katanya.

Semalam, Ghazali dalam kenyataannya kepada media, meminta supaya kepimpinan tertinggi Umno mengambil pendekatan dan tindakan segera menyelesaikan apa yang dianggapnya kemelut pentadbiran negeri. - B

Pelayan Speaking "Teganu" Dapat Penghargaan Majikan


Dungun: Petugas kaunter: “Ok, saya ripik (ulang) oder (pesanan). Set nombor lime (lima) se (satu). Air, sprek (Sprite). Abang nok (nak) bang?

Pelanggan: Dah masuk waktu ke? Rasanya Asar lambat lagi.

Petugas kaunter: Dokk (bukan), maksud saya..bang, bang. B, U, N = Bang! Roti kecik tu...

Itu antara perbualan petugas kaunter restoran makanan segera Marrybrown di Paka di sini, yang ‘viral’ sehingga petugas kaunter itu, Najihah Hassan, 20, mendapat perhatian Ketua Pegawai Eksekutif Marrybrown Group Datuk Joshua Liew.

Najihah akan dianugerahkan sijil penghargaan kerana menjalankan tugas dengan baik.

Menurutnya, dia tidak menyangka ada pihak yang menyebarkan loghat Terengganunya itu ketika mengambil pesanan pelanggan.

Katanya, dia tidak berkecil hati tetapi malu apabila ada rakan dan pelanggan yang ke restoran itu bertanyakan mengenainya.

"Saya bangga apabila diberitahu pihak syarikat akan beri sijil penghargaan di atas komitmen yang diberikan tetapi apa yang saya lakukan kerana sudah menjadi tugas sebagai seorang pekerja.

Najihah yang berasal dari Paka sudah bekerja di restoran berkenaan sejak lebih setahun lalu mengakui, dia juga terpaksa melayan pelanggan warga asing. Menurutnya, walaupun agak sukar dia terpaksa mengambil pesanan dan berinteraksi dengan sebaik mungkin bagi memudahkan pelangganya.

"Saya terpaksa 'speaking' ikut apa yang saya tahu dan saya tidak kisah apa yang orang nak kata, yang penting saya gembira kerja di sini," katanya.

Joshua pula memaklumkan pihaknya akan ke restoran berkenaan hari ini bagi menyerahkan sijil penghargaan kepada Najihah dan turut bertemu dengan Mohd Nur Rizqy.

Sementara itu, Mohd Nur Rizqy Mohd Supian yang menyebarkan perbualannya dengan Najihah berkata, sebagai orang luar dari Terengganu, dia kagum dengan gadis itu kerana kesungguhannya, selain mencuit hati.

Menurut Mohd Nur Rizqy yang bekerja di Kerteh, dia memuat naik status berkenaan pada 30 Julai lalu selepas kali pertama mengunjungi restoran berkenaan.

Katanya, dia ke restoran berkenaan kira-kira jam 4 petang sambil menunggu isterinya yang ke sebuah salon terletak berhampiran dengannya.

"Sebagai orang luar, ia amat mencuitkan hati saya kerana ada beberapa patah perkataan yang tidak berapa difahami. Apa yang buat saya kagum apabila Najihah berusaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya," katanya.

Menurutnya, dia yang berpindah ke Paka kerana mula bertugas di sebuah syarikat cari gali minyak pada Januari lalu ada dihubungi pihak pengurusan Marrybrown untuk bertanyakan mengenai kesahihan statusnya itu.

Katanya, dia menjelaskan kepada pihak itu mengenai kekagumannya terhadap petugas restoran makanan segera terbabit.

"Ia adalah pengalaman dan proses untuk saya mempelajari budaya tempatan yang asing bagi diri ini kerana saya sendiri gemar dengan keunikan budaya di sini (Terengganu)," katanya.

Perbualan yang viral



MB : Selamat datam. Abang nok makang sini ke, bukuh?

RR : Makan sini.

MB : Nok mende?

RR : Bagi saya set nombor 5. Air tu tukar, saya nak Sprite.

MB : Ok, saya ripik oder. Set nombor lime se. Air, sprek. Abang nok bang?

RR : Dah masuk waktu ke? Rasanya Asar lambat lagi.

MB : Dokk, maksud saya..bang, bang. B, U, N = Bang! Roti kecik tu...

RR : Ohh...ingatkan nak saya azan kat sini tadi. Hah, boleh la. Beri la bang tu skali.

Terengganu Semakin Tenat, Kedudukan Ketiga Kebawah Liga


KUALA TERENGGANU: Masalah kecederaan terus menghantui skuad Terengganu apabila empat tonggak tidak dibawa bersama bertandang ke Sarawak bagi mengharungi saingan Liga Super di Stadium Negeri, semalam.

Empat tonggak itu ialah kapten pasukan, Ahmad Nordin Alias dan Muhammad Zubir Azmi yang cedera serta Norshahrul Idlan Talaha dan Mohd Affizie Faisal Mamat yang deman. Sebelum ini, Terengganu kehilangan beberapa tonggak utama termasuk pemain import berpengaruh, Gustavo Lopez, Ismail Faruqi Ashaari dan penjaga gol, Sharmiza Yusof hingga tamat musim ini.

Kecederaan itu memberi tamparan dan menambah tekanan buat pasukan bimbingan Mustaffa Kamal Abdul Wahad yang mengalami empat kekalahan berturut-turut di tangan Perak, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Negeri Sembilan dan semalam dengan Sarawak.

Keputusan perlawanan semalam berkesudahan Sarawak 2-1 Terengganu melalui jaringan Makeche Ndumba, manakala gol penyamaan Vincent Bikana, dan gol kemenangan Sarawak melalui sepakan penalti oleh Gilmar.

Untuk rekod Norshahrul Idlan Talaha dijangka pulih untuk aksi bertemu Felda, manakala pasukan Terengganu bakal kehilangan khidmat Vincent Bikana yang akan menjalani pergantungan satu perlawanan kerana mengumpul tiga kad kuning.

Kekalahan ke empat berturut-turut semalam membuat Terengganu di kedudukan ketiga kebawah Liga Super.


Rahmad Tuntut Aksi Mantap Dihalaman Sendiri



Kuala Terengganu: Pengendali T-Team Rahmad Darmawan mahukan semua pemainnya memperagakan aksi lebih mantap dan memahami taktikal diterapkan untuk menumpaskan Selangor dalam pertembungan saingan Liga Super di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam ini.

Jurulatih kelahiran Lampung Metro, Jakarta itu berkata, saingan liga semakin hampir ke penghujung musim dan sudah pasti pemainnya sudah sebati dan kian serasi ketika beraksi berbanding dalam aksi pusingan pertama.

Menurutnya, seharusnya pemain dapat merealisasikan taktik diterapkan walaupun berdepan Gergasi Merah tanpa tiga pemain tonggaknya termasuk kapten Mohd Hasbullah Awang, perancang dari Uzbekistan Dilshod Sharifudinov dan Muhammad Syuhiran Zainal.

Katanya, tiga pemain berkenaan terpaksa diketepikan selepas masing-masing digantung satu perlawanan kerana menerima tiga kad kuning dan kad merah.

“Ketiadaan tiga pemain itu tidak akan menjejaskan perancangan pasukan kerana kita masih mempunyai beberapa pemain yang mampu memikul tugas dengan berkesan.

“Selain itu, kami ingin menerapkan formasi seimbang dan berkesan serta mengenal pasti kekuatan dan kelemahan pasukan.

“Namun formasi ketika latihan saja tidak cukup kerana apa yang lebih penting bagaimana pemain beraksi dengan baik sepanjang 90 minit di padang dan ditambah dengan motivasi yang tinggi ketika bermain,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Mesotropin Sdn Bhd (MESOTROPIN) Hafiz Wasa berkeyakinan pemain T-Team dapat mengulangi aksi seperti yang ditunjukkan ketika menafikan hajat Sarawak mengutip mata ketika aksi pada Jumaat lalu.

Menurutnya, pihaknya percaya dengan pengamalan penggunaan produk keluaran syarikatnya yang berasaskan nutrisi sukan bukan hanya mampu mengembalikan semula tenaga berikutan jadual perlawanan padat ketika ini malah mampu memulihkan kecederaan otot dengan lebih berkesan dan cepat.

“Sehingga kini kami sudah mengeluarkan empat produk M-sotropin, Mesotropin Mass Gainer, 6-tropin dan Hydro Whey yang mendapat sambutan yang menggalakkan dan dalam masa terdekat kita akan mengeluarkan produk kelima Mass Gainer,” katanya. - HM

MSN Terengganu Siasat Punca Kutipan Emas SUKMA Merosot


KUALA BERANG: Majlis Sukan Negeri (MSN) diarah melakukan bedah siasat punca kemerosotan kutipan pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA XVIII) Sarawak.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Rozi Mamat berkata, kontinjen Terengganu hanya berjaya mengutip 47 pingat emas berbanding sasaran awal 53 pingat emas yang ditetapkan kerajaan negeri. Katanya, beberapa acara sukan iaitu olahraga, hoki, bola sepak dan silat gagal menyumbang pingat emas seperti disasarkan.

"Walaupun kerajaan negeri berpuas hati dengan kutipan pingat emas, perak dan gangsa, kegagalan menjuarai beberapa acara sukan menyebabkan sasaran 53 emas serta merampas kejuaraan tidak tercapai.

"Kita sudah arahkan MSN melakukan bedah siasat untuk mengenal pasti punca utama kemerosotan kutipan pingat seperti disasarkan gagal," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim dan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT), Ibrahim Mohamad. Rozi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkata, walaupun sasaran kutipan pingat tidak dicapai, kerajaan bangga kerana beberapa acara sukan baharu yang tidak dikenali seperti tinju, golf dan tenis berjaya menyumbang pingat emas.

Diminta mengulas mengenai insentif, Rozi berkata kerajaan negeri dijangka membelanjakan lebih RM1 juta untuk bayaran insentif kepada pasukan dan atlet yang berjaya mengutip pingat emas, perak dan gangsa pada temasya SUKMA yang berakhir Ahad lalu.

Rozi berkata, selain insentif seperti dijanjikan, pasukan dan atlet yang berjaya memperoleh pingat emas sudah menerima imbuhan lebih RM100,000 yang diberikan secara terus. Mengenai atlet memanah, Nur Aqilah Yusof yang dinobatkan sebagai olahragawati terbaik SUKMA selepas memperoleh tiga pingat emas, termasuk berjaya memecah rekod kebangsaan, Rozi berkata, kerajaan negeri akan memberi imbuhan lain yang akan diumumkan nanti.

Katanya, pengagihan insentif kepada pasukan dan atlet yang berjaya memperoleh pingat akan dilakukan selewat-lewatnya minggu depan. - BH

Operasi Mencari Mayat Bayi Dihentikan


KUALA TERENGGANU - Polis menghentikan operasi pencarian mayat bayi yang dikatakan dijumpai seorang pekerja Bangladesh di dalam longkang berhampiran Perpustakaan Awam Terengganu di sini, petang kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Superintendan Suffian Sulaiman berkata, hasil perbincangan bersama Jabatan Bomba dan penyelamat Malaysia mendapati dakwaan pekerja lelaki berusia 19 tahun itu meragukan.

Beliau berkata, polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu sudah menjalankan operasi mengikut prosedur ditetapkan sebaik menerima maklumat mengenai penemuan beg plastik berwarna merah putih yang didakwa terdapat seorang bayi.

“Operasi dijalankan bermula jam 6.30 petang hingga tengah malam tadi (malam kelmarin dan disambung semula jam 7 pagi tadi (semalam).

“Bagaimanapun, kita tidak menemui beg plastik yang dimaksudkan dan hasil perbincangan, operasi ini ditamatkan kira-kira jam 3 petang tadi (semalam).

“Mungkin pekerja terbabit tersilap pandang melihat objek yang didakwa seperti bayi itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, seorang pekerja Bangladesh dikenali sebagai Mohd Kobi Mohd Osman, 19, mendakwa ternampak mayat bayi di dalam plastik ketika sedang membersihkan longkang di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, dia yang terkejut bertindak mencampakkan semula beg plastik berkenaan sebelum memaklumkan kejadian berkenaan kepada rakannya, Saidatul Islam Azim Mohd Ghulam Sofi, 35.

Dua sahabat itu kemudian memaklumkan kepada majikan mereka yang kemudiannya membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. - SH

Tenang Motivasi Terbaik T-Team Titans


Kuala Terengganu: Beraksi tanpa tekanan dan motivasi tinggi menjadi faktor utama skuad T-Team kembali menemui rentak kemenangan pertama selepas tumpas empat perlawanan berturut-turut dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia.

Kejayaan ketika menumpaskan Sarawak 2-0 di Stadium Negeri Kuching, minggu lalu, bakal menjadi tonik berharga buat anak buah Rahmad Darmawan untuk melakar kemenangan kedua berturut-turut apabila bertemu Selangor di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah malam esok.

Ketua Pegawai Operasi T-Team Mohd Syahrizan Mohd Zain berkata, beliau sedar bukan tugas mudah buat pemain untuk mengutip mata penuh beraksi di Stadium Negeri berdepan ribuan peminat setia Sarawak Jumaat lalu, namun pemain membuktikan mereka mampu mencatat kemenangan.

“Motivasi tinggi dan beraksi tanpa tekanan sebagaimana ditampilkan pemain ketika perlawanan itu harus dipuji selepas kembali bangkit daripada kekalahan aksi Liga Super dan Piala Malaysia,” katanya.

Penjaring terbanyak skuad The Titans kelahiran Brazil, Patrick Dos Santos Cruz meledak dua jaringan cantik sekali gus berjaya membalas dendam kekalahan kepada skuad Bujang Senang dalam saingan Liga Super.

Mengulas lanjut Mohd Syahrizan gembira dengan peningkatan pasukan dan mengharapkan pemain fokus dengan tidak melakukan kesilapan yang boleh mengundang padah.

“Aksi konsisten pemain perlu untuk meneruskan momentum kemenangan,” katanya yang sebelum ini menyatakan akan mengambil tindakan terhadap mereka yang gagal memperagakan aksi terbaik. - HM

Dua Tahun Persiapan Sepak Takraw Terengganu Tuai Hasil


Pengurus pasukan sepak takraw Terengganu, Ramlee Salleh, menyifatkan kejayaan skuad negeri itu membawa pulang dua pingat emas dan satu pingat perak dari Sukan Malaysia (Sukma) XVIII Sarawak adalah hasil kerja keras sepanjang latihan yang dimulakan sejak 2014.

“Kami berjaya hari ini hasil latihan selama dua tahun serta latihan di Thailand tahun lalu, dibantu jurulatih berkaliber yang diketuai bekas pemain elit negara, Mohd Futra Abd Ghani, bekas pemain kebangsaan Thailand, Vittaya Boontha serta Mohd Yusof Chik dan itu yang menjadi kekuatan pasukan ini.

“Pemain-pemain cukup berpotensi, latihan yang begitu baik selama dua tahun membolehkan kami menang, terutama dalam acara berpasukan.”

Terengganu memenangi dua daripada tiga aksi akhir yang dilalui dengan pingat emas pertama hadir 26 Julai lalu menerusi acara berpasukan menewaskan Kelantan 2-1, namun gagal mempertahankan pingat emas acara regu selepas tewas 0-2 kepada musuh ketat, Pulau Pinang, Sabtu lalu.

Acara beregu akhirnya berjaya menghadiahkan pingat emas kedua dari sukan sepak takraw kepada kontinjen Terengganu selepas mereka mengatasi cabaran sengit Negeri Sembilan 2-1.

“Kejayaan mara ke final dalam semua acara memerlukan kekuatan mental dan stamina yang kuat, Alhamdulillah pemain-pemain dapat memenuhi hasrat untuk mendapatkan pingat emas.

“Mereka menunjukkan karektor sebenar kerana kami menang bukan dengan cara yang mudah dengan keadaan dan suasana yang begitu mencabar.

"Kami tewas kepada Pulau Pinang dalam acara regu kerana pihak lawan menurunkan regu terbaik yang juga pemain kebangsaan.

“Saya sangat berterima kasih kepada Majlis Sukan Negeri dan Persatuan Sepak Takraw Terengganu yang banyak mengambil berat pemain-pemain yang ada dan membantu pasukan ini ke arah kecemerlangan.

“Selain itu kami masih ada enam pemain yang layak beraksi pada edisi 2018 di Perak, termasuklah beregu emas ini,” katanya lagi. - AA

Ketumpulan Penyudah Gagal Manfaatkan Peluang


Pemangku ketua jurulatih Terengganu, Mustaffa Kamal Abd Wahab, mengakui kegagalan barisan penyerang pasukannya memanfaatkan peluang jelas menjadi pemisah ketika kekalahan 1-2 kepada Negeri Sembilan dalam saingan Piala Malaysia semalam.

“Separuh masa pertama, kami hanya jaringkan satu gol daripada tiga peluang yang diperoleh manakala pada babak kedua, kami ada banyak sehingga empat peluang tetapi gagal menyempurnakan kesemuanya.

“Inilah bola sepak, apabila pihak lawan mendapat peluang menerusi sepakan penalti dan gol kedua menerusi sepakan penjuru, mereka berjaya menjaringkan dua gol dan itu yang membezakan keputusan perlawanan.

“Memang kami menguasai perlawanan dan pemain-pemain yang diturunkan juga berkesan, namun tindakan penyudah yang menjadi masalah kepada kami.”

Beraksi di hadapan penyokong sendiri menyaksikan Terengganu  dilanda tekanan selepas mengalami empat kekalahan dalam lima perlawanan sebelum ini, namun menunjukkan aksi lebih meyakinkan dengan menguasai perlawanan.

Gandingan trio Norshahrul Idlan Talaha, Issey Farran Nakajima dan Bogdan Milic sering menguji penjaga gol pelawat, namun gagal menemui sasaran sehinggalah Milic meletakkan Terengganu di depan pada minit ke-23 selepas menanduk masuk hantaran Issey dari sebelah kiri.

Pada babak kedua juga, skrip sama menjadi penghalang dengan percubaan Ashari Samsuddin dan Fakhrurazi Musa berjaya dinafikan, malah dua percubaan Issey pada minit ke-51 dan minit ke-68 juga gagal memberikan gol kedua walaupun hanya berdepan penjaga gol pelawat, Syed Adney Syed Hussein.

Dua gol pantas Negeri Sembilan menerusi sepakan penalti Goran Jerkovic pada minit ke-72 dan tandukan Mohd Afiq Azmi tujuh minit kemudian, jelas menambah luka Sang Penyu.

“Saya yakin dengan pemain-pemain yang ada tetapi kami kesuntukan masa untuk memperkemaskan penyudah dan itu masalah paling besar.

"Jika kesemua peluang itu dimanfaatkan, mungkin keputusan akan berubah,” katanya.

Terengganu kini di tangga tercorot Kumpulan D dengan tiga mata dan fokus juga perlu diberikan kepada saingan Liga Super dengan semua pasukan mula merebut mata untuk mengelak daripada zon penyingkiran. - AA