Dua Tahun Persiapan Sepak Takraw Terengganu Tuai Hasil
Pengurus pasukan sepak takraw Terengganu, Ramlee Salleh, menyifatkan kejayaan skuad negeri itu membawa pulang dua pingat emas dan satu pingat perak dari Sukan Malaysia (Sukma) XVIII Sarawak adalah hasil kerja keras sepanjang latihan yang dimulakan sejak 2014.
“Kami berjaya hari ini hasil latihan selama dua tahun serta latihan di Thailand tahun lalu, dibantu jurulatih berkaliber yang diketuai bekas pemain elit negara, Mohd Futra Abd Ghani, bekas pemain kebangsaan Thailand, Vittaya Boontha serta Mohd Yusof Chik dan itu yang menjadi kekuatan pasukan ini.
“Pemain-pemain cukup berpotensi, latihan yang begitu baik selama dua tahun membolehkan kami menang, terutama dalam acara berpasukan.”
Terengganu memenangi dua daripada tiga aksi akhir yang dilalui dengan pingat emas pertama hadir 26 Julai lalu menerusi acara berpasukan menewaskan Kelantan 2-1, namun gagal mempertahankan pingat emas acara regu selepas tewas 0-2 kepada musuh ketat, Pulau Pinang, Sabtu lalu.
Acara beregu akhirnya berjaya menghadiahkan pingat emas kedua dari sukan sepak takraw kepada kontinjen Terengganu selepas mereka mengatasi cabaran sengit Negeri Sembilan 2-1.
“Kejayaan mara ke final dalam semua acara memerlukan kekuatan mental dan stamina yang kuat, Alhamdulillah pemain-pemain dapat memenuhi hasrat untuk mendapatkan pingat emas.
“Mereka menunjukkan karektor sebenar kerana kami menang bukan dengan cara yang mudah dengan keadaan dan suasana yang begitu mencabar.
"Kami tewas kepada Pulau Pinang dalam acara regu kerana pihak lawan menurunkan regu terbaik yang juga pemain kebangsaan.
“Saya sangat berterima kasih kepada Majlis Sukan Negeri dan Persatuan Sepak Takraw Terengganu yang banyak mengambil berat pemain-pemain yang ada dan membantu pasukan ini ke arah kecemerlangan.
“Selain itu kami masih ada enam pemain yang layak beraksi pada edisi 2018 di Perak, termasuklah beregu emas ini,” katanya lagi. - AA
0 comments: