Pelayan Speaking "Teganu" Dapat Penghargaan Majikan


Dungun: Petugas kaunter: “Ok, saya ripik (ulang) oder (pesanan). Set nombor lime (lima) se (satu). Air, sprek (Sprite). Abang nok (nak) bang?

Pelanggan: Dah masuk waktu ke? Rasanya Asar lambat lagi.

Petugas kaunter: Dokk (bukan), maksud saya..bang, bang. B, U, N = Bang! Roti kecik tu...

Itu antara perbualan petugas kaunter restoran makanan segera Marrybrown di Paka di sini, yang ‘viral’ sehingga petugas kaunter itu, Najihah Hassan, 20, mendapat perhatian Ketua Pegawai Eksekutif Marrybrown Group Datuk Joshua Liew.

Najihah akan dianugerahkan sijil penghargaan kerana menjalankan tugas dengan baik.

Menurutnya, dia tidak menyangka ada pihak yang menyebarkan loghat Terengganunya itu ketika mengambil pesanan pelanggan.

Katanya, dia tidak berkecil hati tetapi malu apabila ada rakan dan pelanggan yang ke restoran itu bertanyakan mengenainya.

"Saya bangga apabila diberitahu pihak syarikat akan beri sijil penghargaan di atas komitmen yang diberikan tetapi apa yang saya lakukan kerana sudah menjadi tugas sebagai seorang pekerja.

Najihah yang berasal dari Paka sudah bekerja di restoran berkenaan sejak lebih setahun lalu mengakui, dia juga terpaksa melayan pelanggan warga asing. Menurutnya, walaupun agak sukar dia terpaksa mengambil pesanan dan berinteraksi dengan sebaik mungkin bagi memudahkan pelangganya.

"Saya terpaksa 'speaking' ikut apa yang saya tahu dan saya tidak kisah apa yang orang nak kata, yang penting saya gembira kerja di sini," katanya.

Joshua pula memaklumkan pihaknya akan ke restoran berkenaan hari ini bagi menyerahkan sijil penghargaan kepada Najihah dan turut bertemu dengan Mohd Nur Rizqy.

Sementara itu, Mohd Nur Rizqy Mohd Supian yang menyebarkan perbualannya dengan Najihah berkata, sebagai orang luar dari Terengganu, dia kagum dengan gadis itu kerana kesungguhannya, selain mencuit hati.

Menurut Mohd Nur Rizqy yang bekerja di Kerteh, dia memuat naik status berkenaan pada 30 Julai lalu selepas kali pertama mengunjungi restoran berkenaan.

Katanya, dia ke restoran berkenaan kira-kira jam 4 petang sambil menunggu isterinya yang ke sebuah salon terletak berhampiran dengannya.

"Sebagai orang luar, ia amat mencuitkan hati saya kerana ada beberapa patah perkataan yang tidak berapa difahami. Apa yang buat saya kagum apabila Najihah berusaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya," katanya.

Menurutnya, dia yang berpindah ke Paka kerana mula bertugas di sebuah syarikat cari gali minyak pada Januari lalu ada dihubungi pihak pengurusan Marrybrown untuk bertanyakan mengenai kesahihan statusnya itu.

Katanya, dia menjelaskan kepada pihak itu mengenai kekagumannya terhadap petugas restoran makanan segera terbabit.

"Ia adalah pengalaman dan proses untuk saya mempelajari budaya tempatan yang asing bagi diri ini kerana saya sendiri gemar dengan keunikan budaya di sini (Terengganu)," katanya.

Perbualan yang viral



MB : Selamat datam. Abang nok makang sini ke, bukuh?

RR : Makan sini.

MB : Nok mende?

RR : Bagi saya set nombor 5. Air tu tukar, saya nak Sprite.

MB : Ok, saya ripik oder. Set nombor lime se. Air, sprek. Abang nok bang?

RR : Dah masuk waktu ke? Rasanya Asar lambat lagi.

MB : Dokk, maksud saya..bang, bang. B, U, N = Bang! Roti kecik tu...

RR : Ohh...ingatkan nak saya azan kat sini tadi. Hah, boleh la. Beri la bang tu skali.

0 comments: