Dua Tahun Persiapan Sepak Takraw Terengganu Tuai Hasil


Pengurus pasukan sepak takraw Terengganu, Ramlee Salleh, menyifatkan kejayaan skuad negeri itu membawa pulang dua pingat emas dan satu pingat perak dari Sukan Malaysia (Sukma) XVIII Sarawak adalah hasil kerja keras sepanjang latihan yang dimulakan sejak 2014.

“Kami berjaya hari ini hasil latihan selama dua tahun serta latihan di Thailand tahun lalu, dibantu jurulatih berkaliber yang diketuai bekas pemain elit negara, Mohd Futra Abd Ghani, bekas pemain kebangsaan Thailand, Vittaya Boontha serta Mohd Yusof Chik dan itu yang menjadi kekuatan pasukan ini.

“Pemain-pemain cukup berpotensi, latihan yang begitu baik selama dua tahun membolehkan kami menang, terutama dalam acara berpasukan.”

Terengganu memenangi dua daripada tiga aksi akhir yang dilalui dengan pingat emas pertama hadir 26 Julai lalu menerusi acara berpasukan menewaskan Kelantan 2-1, namun gagal mempertahankan pingat emas acara regu selepas tewas 0-2 kepada musuh ketat, Pulau Pinang, Sabtu lalu.

Acara beregu akhirnya berjaya menghadiahkan pingat emas kedua dari sukan sepak takraw kepada kontinjen Terengganu selepas mereka mengatasi cabaran sengit Negeri Sembilan 2-1.

“Kejayaan mara ke final dalam semua acara memerlukan kekuatan mental dan stamina yang kuat, Alhamdulillah pemain-pemain dapat memenuhi hasrat untuk mendapatkan pingat emas.

“Mereka menunjukkan karektor sebenar kerana kami menang bukan dengan cara yang mudah dengan keadaan dan suasana yang begitu mencabar.

"Kami tewas kepada Pulau Pinang dalam acara regu kerana pihak lawan menurunkan regu terbaik yang juga pemain kebangsaan.

“Saya sangat berterima kasih kepada Majlis Sukan Negeri dan Persatuan Sepak Takraw Terengganu yang banyak mengambil berat pemain-pemain yang ada dan membantu pasukan ini ke arah kecemerlangan.

“Selain itu kami masih ada enam pemain yang layak beraksi pada edisi 2018 di Perak, termasuklah beregu emas ini,” katanya lagi. - AA

Terengganu Julang Emas Sepak Takraw Tewaskan Kelantan


Kuching: Skuad sepak takraw Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-18 berjaya merangkul emas pertama bagi sukan tersebut apabila menewaskan pasukan dari Kelantan dalam pentas final kategori berpasukan lelaki yang berlangsung hari ini.

Sebelum menewaskan Kelantan 2-1 dalam acara yang berlangsung di Stadium Bandaraya Miri, Terengganu telah mengalahkan pasukan Pulau Pinang pada pusingan separuh akhir dengan keputusan 2-0.

Ketua jurulatihnya, Mohd Futra Abd Ghani mengharapkan kemenangan itu mampu memberi suntikan semangat buat kem sepaktakraw Terengganu dalam melengkapkan dua sasaran pingat emas, satu perak dan dua gangsa.

Menurutnya, saingan yang diberikan sememangnya sengit bagaimanapun selepas menewaskan pasukan pilihan Pulau Pinang memberi keyakinan buat pemain dalam merealisasikan sasaran emas bagi acara berpasukan.

“Pada perlawanan akhir tadi regu A kita bermain dengan cemerlang dengan meraih kemenangan 2-0 (21-7, 21-10), bagaimanapun tewas ke atas regu B Kelantan, 0-2 (15-21, 13-21).

“Alhamdullilah strategi kita untuk menyimpan dua pemain terbaik kita pada regu ketiga berjaya membawa tuah apabila Irsyad Faiz Aziz dan Mohamad Ridauddin Abdul Ghani berjaya membantu pasukan untuk bangkit meraih kemenangan dengan 21-16, 21-16 sekaligus menghadiahkan emas pertama dari sukan sepaktakraw,” katanya.

Dalam pada itu, bekas pemain kebangsaan itu juga menyifatkan kejayaan yang diraih anak buahnya adalah hasil kesungguhan mereka ketika menjalani sesi latihan selain sokongan berterusan diberikan pihak Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu dan juga kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT). - TK