Skuad Penyu Kena Peteh Di Ipoh
Perlawanan bermula baik, namun Terengganu lebih dulu mencemaskan tuan rumah apabila penyerang, Norshahrul Idlan Talaha mendapat peluang keemasan membuka jaringan pada minit ke-6.
Bagaimanapun,rembatan lemah pemain berkenaan berjaya diselamatkan penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim.
Seminit berselang, tiba giliran Perak mencemaskan seketika kubu Terengganu apabila import Brazil, Elias Fernandes Oliveira berjaya melepasi kawalan pertahanan sebelum melorongkan bola kepada penyerang, Xhevahir Sukaj.
Namun, rembatan import Albania itu gagal menepati sasaran untuk melegakan seketika kubu Terengganu.
Perak sekali lagi mendapat peluang membuka jaringan pada minit ke-18, bagaimanapun kali ini rembatan pemain lincah, Mohd Fazrul Hazli Mohd Kadri juga gagal menepati sasaran.
Minit ke-21, Perak sekali lagi hampir membuka jaringan tetapi pemain import, Elias Fernandes de Oliveira liar ke sebelah kanan gawang Terengganu.
Bagaimanapun lima minit kemudian, Perak berjaya mendahului pelawat hasil rembatan kencang Kenny Pallraj dari luar kotak penalti yang sama sekali menewaskan penjaga gawang skuad Penyu, Sharbinee Alawee.
Gol berkenaan dilihat menyemarakkan semangat kesebelasan Perak untuk terus mengasak ke gawang Terengganu bagi menambah gol, namun tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan hingga tamat babak pertama.
Terengganu bermula garang pada babak kedua dan hampir meledak jaringan penyamaan menerusi rembatan pemain import tinggi lampainya, Bodgan Milic namun rembatan penyerang berkenaan tidak menepati sasaran.
Perak juga dilihat gagal menyempurnakan peluang terhidang dengan menyaksikan penyerang import, Xhevahir Sukaj gagal menjaringkan gol.
Bagaimanapun kegagalan berkenaan berjaya ditebus import Brazil, Elias Fernandes Oliveira pada minit ke-77 apabila menyempurnakan lorongan cantik pemain gantian, Mohd Nasir Basharuddin untuk sekali lagi menggamatkan stadium.
Ketinggalan dua gol bagaimanapun nyata tidak melemahkan semangat kesebelasan Terengganu yang dilihat masih bersemangat mengatur serangan ke gawang Perak untuk sekurang-kurangnya menjaringkan gol penyamaan.
Namun benteng Perak diterajui bek kental, Thiago Junio de Aquino terus kental bertahan bagi menafikan semua asakan berkenaan sehinggalah ke wisel penamat.
Dua jaringan pada setiap babak sudah cukup memadai untuk skuad The Bos Gaurus itu mencerahkan semula peluang 'mendaki’ kedudukan terbaik dalam saingan liga kali ini.
Perak – Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy, Mohd Syazwan Roslan, Shahrul Mohd Saad, Thiago Junio de Aquino (kapten), Nazirul Naim Che Hashim, Muhammad Ridzuan Azly Hussam, Oybek Kilichev (Amirul Azhan Aznan), Kenny Pallraj (Mohd Nasir Basharuddin), Mohamad Fazrul Hazli Mohd Kadri (Fikri Sudin), Elias Fernandes de Oliveira, Xhevahir Sukaj
Terengganu – Mohd Sharbinee Allawee, Mohd Nasril Izzat Jalil, Hasmizan Kamarodin, Bogdan Milic, Muhamad Hafizal Mohamad, Ahmad Nordin Alias (kapten), (Zairo Anuar Zailani), Muhammad Fakrurazi, Joseph Kalang Tie, Muhamad Shahrin Sapien, Hairuddin Omar, Norshahrul Idlan Talaha
Pengadil - Zulkefli Ahmad - SH
0 comments: