Empat Pelumba Basikal Wanita Raih Emas Buat Terengganu


Empat pelumba berjaya menceriakan skuad Terengganu selepas melepasi garisan penamat bagi acara lumba basikal 100 kilometer lepas beramai-ramai berpasukan wanita.

Nur Aisyah Mohamad Zubir, Ezzatie Fifiyana Shazwanie, Sharifah Nur Ilyana dan Nurul Najihah Inani adalah antara empat pelumba yang berjaya mempertahankan pingat emas edisi lalu bagi acara ini.

Nur Aisyah dan Ezzatie Fifiyana antara pelumba terawal menamatkan perlumbaan bersaing dengan Selangor yang mengejar rapat, diikuti Sharifah Nur Ilyana untuk meletakkan Terengganu di depan.

Lagi membanggakan adalah kategori individu yang menyaksikan Nur Aisyah sekali lagi berjaya merangkul pingat emas buat Terengganu selepas hanya mensasarkan pingat perak pada awalnya.

"Amat susah ketika cuba melepaskan diri kerana pesaing lain semua bagus-bagus tetapi kami tidak putus asa," jelasnya.

Namun, dalam kegembiraan, rakan sepasukan, Ezzatie Fifiyana Shazwanie mencetuskan kerisauan selepas mengalami kekejangan teruk sejurus menamatkan perlumbaan.

Berkongsi situasi itu, Ezatie yang hampir pitam dalam jarak 300 meter terakhir bagaimanapun tekad meneruskan perlumbaan demi emas untuk Terengganu

"Ketika berbaki 300 meter lagi, kaki saya mengalami kekejangan sehingga saya tidak mampu buat kayuhan, tetapi saya cuba juga sehingga tamat perlumbaan.

"Saya ingatkan pasukan kami akan gagal tetapi tidak, kami tetap berjaya raih emas."

0 comments: